Monday, January 12, 2009

Isu Semasa: Pengerusi senat kena tumbuk ketika konvokesyen!

Berita Harian, 12 Januari 2009


Seorang lelaki menumbuk Dr Yap pada Majlis Konvokesyen ke-10 Kolej New Era, Kajang, semalam. (Gambar kecil) Keadaan Dr Yap yang cedera selepas ditumbuk.

KUALA LUMPUR: Majlis Konvokesyen ke-10 Kolej New Era, Kajang, yang dihadiri 500 graduan dan ibu bapa gempar apabila seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba menumbuk Pengerusi Senat kolej itu yang sedang berucap, semalam.

Akibat kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, Dr Yap Sin Tian, mengalami pendarahan hidung dan terpaksa dibawa dengan sebuah ambulans ke Pusat Perubatan Pakar Kajang (KSMC) untuk mendapat rawatan lanjut.

Difahamkan, lelaki yang memakai kemeja-T hijau itu tiba-tiba naik ke pentas di dalam dewan terletak di tingkat lima bangunan kolej itu, sebelum terus meluru ke depan Dr Yap dan menumbuknya.

Ketika itu, mangsa baru memulakan ucapannya tetapi terganggu dengan masalah sistem pembesar suara.

Kejadian itu mengejutkan pensyarah dan kakitangan kolej berkenaan yang menyangka suspek kakitangan bahagian penyelenggaraan yang naik ke pentas untuk mengatasi masalah gangguan sistem alat pembesar suara kerana semua kakitangan bahagian itu memakai baju hijau.

Selepas menumbuk mangsa, suspek kemudian menghilangkan diri dan baju hijau yang dipakainya dikatakan ditemui di lantai dewan berkenaan. Seorang pegawai kanan kolej itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kajang pada kira-kira jam 2.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood ketika dihubungi Berita Harian semalam, mengesahkan menerima laporan dan sedang menyiasat kejadian itu.

“Maklumat awal yang kita terima lelaki yang menyerang mangsa adalah bekas penuntut kolej berkenaan, tetapi motif dia bertindak demikian belum kita ketahui. Setakat ini, kita belum menahan lelaki berkenaan,” katanya.

Mohd Shakaruddin berkata, pihaknya akan mengambil keterangan, termasuk daripada mangsa bagi membantu siasatan.

Sementara itu, seorang saksi yang berada di dewan ketika kejadian berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu dirancang pihak tertentu kerana alat pembesar suara tiba-tiba menjadi perlahan sebaik Dr Yap memulakan ucapannya.

“Tidak lama selepas itu seorang lelaki yang disangka pekerja bahagian penyelenggaraan naik ke pentas lalu mencederakan Dr Yap,” katanya.


Komen aku: Cam kesian kat mangsa tapi bila fikir2 balik kelakar pulak....Camner la klu perkara macam tu berlaku waktu aku konvokesyen... Mesti rosak majlis untuk meraikan aku! Macam kes Bush nak kena baling kasut la pulak!
kahkahkah

No comments: